Pengerusi Miat Quadra E-Sport, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal pada sidang media mengenai anjuran Keluarga Malaysia : Anak Muda Gegor Bera di Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

BERA – Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera julung kalinya bakal diadakan pada 12 November ini di Dewan Konvensyen Bera dengan pengisian khusus untuk generasi muda.

Penganjur program, Miat Quadra E-Sport Club memaklumkan, ia bakal menghimpunkan lebih 2,000 anak muda setempat dan kawasan sekitar.

Pengerusinya, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal berkata, terdapat tiga segmen utama yang disediakan pada hari tersebut antaranya, Acara e-sukan (Santai e-Games), Karnival kerjaya (JaminKerja) dan Konsert Keluarga Malaysia.

“Dua segmen utama iaitu e-sukan dan Karnival Kerjaya akan berlangsung daripada pagi hingga petang, manakala terdapat Konsert dianjurkan pada sebelah malam,” katanya di sini hari ini

Lebih menarik, Mohamad Lukman memaberitahu, program terbabit juga akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Terdapat juga aktiviti menarik lain disediakan, iaitu pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan motosikal khusus untuk golongan belia dan food truck‘,” tambahnya.

Bagi acara e-sukan pula, beliau berkata, sambutan diterima adalah memberangsangkan yang mana kini pihaknya telah menerima kira-kira 38 penyertaan dari daerah sini sahaja.

Ulas Pengerusi Belia-Belia Tunggal Malaysia itu lagi, beliau mahu menarik minat anak muda dan memberi pendedahan bahawa e-sukan ini bukan sekadar hobi, ia boleh menjana pendapatan, seperti salah seorang pemain e-sukan terkenal, Soloz.

“Acara ini turut mengundang Team Haq Esports Club yang muncul juara perlawanan Liga Profesional Mobile Legend (MPL) Malaysia musim ke-10 baru-baru ini.

“Team Haq akan mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4, pada tahun hadapan di Jakarta, Indonesia,” tambahnya.

Acara yang julung kali dianjurkan di Parlimen Bera ini menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM25,000, cabutan bertuah bernilai hingga RM3,000 berserta peluang bagi memenangi telefon pintar.

Miat Quadra E-Sport Club juga mengalu-alukan kehadiran dan penyertaan anak-anak muda Bera, kawasan sekitar serta seluruh Malaysia bagi memeriahkan ‘Santai E-Games’ dan Karnival #Keluarga Malaysia: Anak Muda GEGOR Bera.

Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi saudara Duke di talian 011-2956 6829 dan saudari Yasmin di talian 017-4820294.-MalaysiaGazette