KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggariskan enam fokus Malaysia Berdaya Huni 2022 yang menjadi tema Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Enam fokus itu ialah memastikan penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti; mengarus perdana pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); memperkasa pembangunan komuniti bandar; mempertingkat kesiapsagaan kebombaan dan penyelamatan; mengutamakan kemampanan bandar, pembangunan dan daya tahan Bandar Hijau; dan mentransformasi pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan ekonomi kitaran.
Ketua Setiausahanya, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, banyak program dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan di peringkat kementerian adalah berkaitan dengan agenda menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya huni.
Dari segi perumahan, KPKT telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) yang berteraskan kepada elemen 5K iaitu ketersediaan, keupayaan memiliki, kemudahan mendapatkan pembiayaan, kualiti dan kediaman berdaya huni.
Ini disokong dengan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-BIAYA yang menawarkan tiga skim pembiayaan, iaitu melalui Kementerian Kewangan, Cagamas, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan dan PR1MA yang memudahkan anak muda dan pembeli rumah pertama untuk mendapatkan pembiayaan sehingga 110 peratus.
Manakala tugas KPKT melalui PLANMalaysia adalah kepada perancangan perumahan yang sistematik, mampan, dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan yang berkualiti, yang di akhirnya membantu dalam pembentukan komuniti yang sejahtera dan berdaya huni.
Selain dari aspek perumahan, pembangunan komuniti antara penekanan kementerian dalam menangani impak urbanisasi yang turut menimbulkan isu perbandaran seperti banjir kilat, kesesakan dan masalah sosial lain.
Menurutnya, Dasar Komuniti Negara (DKomN) yang digubal juga antara lain bertujuan membentuk komuniti yang lebih peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat, penekanan kepada nilai-nilai murni, rasa tanggung jawab dan rasa kepunyaan dalam kalangan komuniti bandar untuk menjalani kehidupan seharian.
Kementerian juga telah melaksanakan beberapa program lain bagi menyokong pembangunan komuniti, antaranya Program Baik Pulih Rumah dan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB).
”Bagi memastikan Agenda Malaysia Berdaya Huni ini terlaksana, tindakan pengukuran terhadap keberkesanannya perlu dilakukan, maka kementerian melalui PLANMalaysia telah membangunkan Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) yang telah dilancarkan pada 18 Ogos yang lepas, sebagai instrumen pengukuran tahap daya huni dan kesejahteraan rakyat di peringkat kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
”Pelbagai inisiatif yang menyokong pembangunan mampan juga telah dilaksanakan oleh Kementerian melalui PLANMalaysia sama ada di peringkat persekutuan, negeri mahupun tempatan.
”Antaranya adalah penyediaan rancangan pemajuan nasional (seperti Rancangan Fizikal Negara dan Dasar Perbandaranan Negara); Rancangan Wilayah (seperti Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai dan Kajian Pelan Induk Sumber Makanan Negara), Garis Panduan Perancangan, Sistam Maklumat Guna Tanah Negara, Rancangan Pemajuan dan Pelan Tindakan di peringkat persekutuan, dan pelaksanaan projek showcase seperti healthy walkable city dan transit oriented development di peringkat tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2022 Peringkat Kebangsaan.
Tambah beliau, KPKT selaku agensi yang menerajui soal pengurusan sisa pepejal negara juga sedang merangka pelaksanaan ekonomi kitaran melalui pelan transformasi menyeluruh pengurusan sisa pepejal untuk kita beralih daripada ekosistem bersifat ‘linear economy’ kepada ‘circular economy’.
Untuk tujuan ini, KPKT sedang melihat pelaksanaan ekonomi kitaran melalui bukti konsep (POC) di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperakukan kawasan PBT sebagai ‘Circular City’ atau PBT mampan dalam soal pengurusan sisa pepejal. KPKT juga sedang melihat soal insentif di peringkat permulaan serta jangka panjang yang boleh diberikan sebagai galakan kepada semua pihak untuk menjayakan agenda ekonomi kitaran itu.
Jelas M. Noor Agenda Besar Malaysia Berdaya Huni ini bukan sekadar agenda untuk KPKT sahaja, bahkan ia memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, termasuk kementerian, agensi kerajaan di pelbagai peringkat, pertubuhan profesional, universiti, pihak swasta dan komuniti.
”Justeru itu, saya menyeru semua pihak untuk sama-sama berganding bahu bagi merealisasikan inisiatif yang telah dirangka di peringkat kementerian agar transformasi perbandaran yang lebih berdaya huni akan dapat dicapai dengan lebih efektif,” ujar beliau. – MalaysiaGazette