Minuman jenama Nutri Malt keluaran Carlsberg tiada sijil JAKIM.-Foto FB JAKIM

KUALA LUMPUR- Minuman jenama Nutri Malt keluaran Carlsberg Brewery Malaysia Berhad tidak memiliki dan tidak layak memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan menerusi laman Facebook Bahagian Hab Halal, Jakim hari ini.

Jabatan itu memaklumkan, ia bertepatan dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2022 klausa 6 (2) yang menyatakan: “Syarikat yang mengeluar dan/atau mengedar produk halal dan tidak halal termasuk perkhidmatan penghantaran makanan tidak layak memohon pensijilan halal Malaysia.”

Sehubungan itu, JAKIM menyarankan umat Islam memilih produk yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana ia bukan sahaja dijamin halal tetapi toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.

Pengguna boleh membuat semakan status halal produk atau premis makanan beserta panduan penuh di Portal Rasmi Halal Malaysia, aplikasi SmartHalal dan aplikasi Verify Halal.

Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan dan inginkan penjelasan berkaitan isu halal yang tular boleh melayari laman Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki menunjukkan minuman itu dijual di sebuah kedai serbaneka 24 jam dan diletakkan di dalam peti sejuk bersama minuman yang memiliki logo halal.- MalaysiaGazette