IPOH -Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Datuk Hang Tuah Mohamad Din yakin pengundi sudah semakin celik dan lebih menghargai kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya, setelah menyantuni penduduk setempat sejak sebelum kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula, beliau sering mendengar keluhan pengundi yang kecewa dengan Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi kerajaan.
“Saya nampak penerimaan lebih positif berbanding PRU14 lepas.
“Mungkin mereka belajar daripada kesilapan dan kita juga tidak menyalahkan mereka.
“Tetapi inilah yang akan kita rasai apabila tersilap memilih pemimpin kerana iaboleh menyebabkan kehidupan kita sengsara,” katanya.
Bercakap kepada MalaysiaGazette di Ipoh, Perak, Hang Tuah berharap maklum balas positif itu diterjemahkan ke atas kertas undi padaa 19 November ini.
Calon Barisan Nasional (BN) N.44 Sungai Rapat, Datuk Hang Tuah Din menyantuni penunggang e-hailing sambil mendengar keluhan penghantar makanan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Shake and Bake, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2022.Terdahulu, beliau sempat meluangkan masa bertemu dan berkongsi pandangan dengan kumpulan penghantar makanan.
“Saya berjumpa kumpulan ini kerana mereka antara yang paling dekat masyarakat setempat, mereka tahu banyak isu, permasalahan dan cadangan-cadangan mereka juga cukup bernas.
“Semua pandangan dan input diberikan oleh golongan ini yang rata-ratanya juga dalam kalangan belia amat berguna. Kita perlu fahami mana kekurangan, kelemahan.” Ujarnya lagi. -MalaysiaGazette