KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka empat kertas siasatan kesalahan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 7 November 2022.
Malah, polis juga berjaya melakukan tangkapan ke atas dua individu warga tempatan yang dikesan melakukan perbuatan khianat itu.
Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, dua kertas siasatan disusuli dua tangkapan itu dibuat di negeri Kedah.
“Untuk kes pertama, pengadu seorang lelaki tempatan mendapati khemah pusat mengundi di Tapak Mahlus Majlis Perbandaran Kulim Kedah di Taman Cili, Lunas Kulim telah dibakar, bendera komponen BN telah dicabut dan dibuang ke dalam longkang.
“Berikutan itu polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam perbuatan jenayah khianat api itu dan direman mulai hari ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan harian statistik kempen PRU15 di Bukit Aman di sini.
Dalam kes kedua di Langkawi, seorang lelaki tempatan telah ditahan selepas disyaki bertanggungjawab atas ugutan itu dan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan polis.
Penahanan itu dibuat selepas pengadu menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali yang tidak berpuas hati ke atas pengadu yang dilantik sebagai ketua pusat daerah mengundi cawangan Pulau Tuba.
Lelaki itu didakwa mengugut akan menumbuk pengadu jika terjumpa di luar semasa berkempen.
Laporan ketiga pula, seorang lelaki mendakwa ucapan calon Perikatan Nasional di Tapak Pasar hari Tebuk Panchor, Gunung Semanggol mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat yang ditujukan kepada pimpinan Pakatan Harapan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi.
Manakala kes keempat diterima dari Kemaman, Terengganu membabitkan pengadu warga tempatan mendapati dua banner yang digantung di Simpang Tiga, Tol Chukai,Kemaman bertujuan memalukan dan menghina calon parti Barisan Nasional dengan memaparkan gambar calon BN dengan perkataan mencabul kehormatan.
Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4 A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, 435 Kanun Keseksaan (KK), 504 KK, 506 KK, 500 KK, serta 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ujarnya.
Dalam pada itu, untuk hari ketiga berkempen semalam, Hazani berkata, statistik harian PRU15 bertarikh 7 November juga menunjukkan sebanyak 997 permit kebenaran berceramah telah dikeluarkan polis di 14 kontinjen.
Kontinjen yang paling banyak diluluskan permit ceramah kempen ialah Sabah dengan 193 disusuli Sarawak (144) dan Johor (125), Selangor (113), Perak (102) dan Kedah (68), Negeri Sembilan (48), Melaka (46) dan Pahang (45).
Pada masa yang sama polis juga mengesan sebanyak 72 ceramah tanpa permit pula direkodkan secara keseluruhannya.
Negeri Sembilan mendahului senarai ceramah tanpa permit iaitu 21 kes, Kuala Lumpur (15), Perak (14),Selangor (13), Kedah (5), Pahang (3) dan satu kes di Kelantan. – MalaysiaGazette