Polis mencari suspek yang bertanggungjawab melakukan khianat dengan memotong poster dan bendera parti brtanding PRU15 di TTDI semalam. Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang individu yang disyaki terlibat merosakkan bendera dan poster Barisan Nasional (BN).

Ketua Polis Daerah Brickifields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan itu dilakukan selepas menerima aduan daripada Ketua Pemuda Barisan Nasional Cawangan Lembah Kiara  mengenai berbuatan sabotaj itu.

Katanya, dalam aduan itu pengadu mendakwa dia telah dimaklumkan oleh rakannya melalui pesanan Whatsapp bahawa bendera dan poster parti BN yang diletakkan di kawasan Taman TTDI telah dirosakkan oleh seseorang.

“Sejurus menerima maklumat dari rakannya itu, pengadu telah bergegas ke tempat kejadian bagi mengesahkan dakwaan rakannya itu apabila tali yang menggantung bendera dan poster BN telah dipotong.

“Hasil siasatan awal mendapati tempat kejadian pertama berlaku di Persimpangan Jalan Athinahpan TTDI, Kuala Lumpur dan tempat kejadian kedua berlaku di jambatan di Jalan Burhanuddin Helmi 1 di mana bendera parti BN yang digantung dengan tali plastik serta poster telah dikhianat dengan cara memotong tali plastik pada bendera dan poster,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, hasil semakan, pihak polis mendapati tiada rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) dari kediaman yang fokus ke tempat kejadian dan tiada CCTV daripada ITIS di tempat kejadian sama.

Menurutnya, kes berkenaan kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah Khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Polis kini sedang menggandakan usaha mengesan inividu atau suspek yang bertanggungjawab dalam perbuatan khianat itu bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Pihak polis juga mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak membuat apa-apa provokasi yang boleh menggangu proses demokrasi negara ini.

“Pada masa yang sama, ahli-ahli parti politik diingatkan supaya mengawal penyokong masing-masing gar tidak melakukan atau terlibat dalam apa-apa perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan. – MalaysiaGazette