Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau telah melakukan pengisytiharan harta yang merupakan syarat kepada calon PH untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga Presiden PKR  menjelaskan, kelewatan mengisytharkan harta itu berlaku kerana jadualnya yang padat.

“Sudah selesai dah cuma tempoh hari, saya belum tanda tangan, saya belum pulang ke Kuala Lumpur.  Selesai, tiada masalah,” katanya.

Sebahagian besar daripada 72 calon PKR telah menyiarkan pengisytiharaan aset mereka, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, penyataan pengisytiharan harta oleh Anwar Ibrahim masih belum dikemaskini sebagai calon yang bertanding pada PRU15.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini menyatakan, pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU15 berbuat demikian.

Terdahulu, Anwar menghadiri Program Santai Petang di Bandar Baru Uda bersama calon PKR, Akmal Nasir yang bertanding kerusi Parlimen Johor Bahru. – MalaysiaGazette