SUNGAI BULOH – Perancangan Amal dan Usaha Barisan Nasional (PADU) yang diumumkan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam merupakan manifesto yang realistik kerana tidak menjanjikan bulan dan bintang.

Perkara itu diakui sendiri calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berpuas hati dengan tawaran diberikan dalam manifesto kali ini yang menepati keperluan rakyat khususnya dari segi kesihatan awam.

“Saya lihat PADU BN sebagai realistik, ia tidak menjanjikan bulan dan bintang.

“Saya berpuas hati dengan manifesto yang telah dibentangkan, saya melihat komitmen kepada perbelanjaan kesihatan sangat baik sebanyak lima peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Angka ini saya telah kemukakan dua bulan lepas supaya perbelanjaan kesihatan awam adalah lima peratus daripada KDNK dan telah dimasukkan dalam manifesto PADU BN,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Komuniti Taman Saujana Utama, di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Kesihatan turut berpuas hati apabila banyak inisiatif khususnya untuk anak muda termasuk yang berkaitan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN dan peningkatan kemahiran sumber manusia.

“Ini sangat penting kerana untuk mengukuhkan ekonomi negara, kita perlu mengutamakan prospek anak muda dari segi latihan dan pendidikan tinggi.

“Saya tengok banyak perlindungan diberi kepada pekerja contohnya pekerja gig ekonomi yang selama ini tidak mendapat perlindungan, (tetapi) dengan manifesto PADU BN mereka juga diberi perlindungan,” katanya.

Tambah beliau, keutamaan PADU BN dengan memberi pakej bantuan kepada mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah dapat menambah baik kehidupan anak muda dengan meletakkan harga lantai paras gaji semasa.

“Kita harap dengan harga lantai tersebut dan usaha untuk menaik taraf kemahiran maka ia akan dapat menaikkan gaji rakyat Malaysia

“Pada masa sama banyak usaha dalam PADU itu untuk mengukuh tadbir urus dari segi institusi demokrasi, institusi mencegah rasuah, jadi kita tidak fokus ke arah memperkukuhkan tadbir urus negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast