Penyandang kerusi Parlimen Batu, P. Prabakaran . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan Parlimen Batu, P. Prabakaran tidak akan menarik balik kenyataan beliau dalam satu ceramah kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mendakwa beliau pernah ditawarkan RM10 juta untuk keluar parti dan menyertai MIC.

Penyandang kerusi Parlimen Batu itu berkata, apa yang dikatakan itu adalah benar, tidak seperti didakwa seorang pemimpin MIC.

“Saya tidak akan tunduk dengan desakan pemimpin MIC itu yang mahu tarik balik kenyataan saya.

“Saya menerima pelbagai tawaran seumpama pada 2020 tetapi menolak kesemuanya kerana saya berpegang kepada prinsip saya sendiri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Simon terhadap calon Pakatan Harapan (PH) itu yang didakwa kerana mendakwa mengeluarkan kenyataan berbaur dalam ceramahnya.

Raja membuat laporan polis itu jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini. – MalaysiaGazette