Penyelidik UMS mengambil gambar pada PECIPTA 2022

BACHOK – Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkul dua Anugerah Terbaik dan meraih 14 pingat iaitu enam emas, empat perak dan empat gangsa dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2022.

Dua anugerah itu adalah Anugerah Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Terbaik (Kategori Pertanian dan Perhutanan) diperoleh melalui inovasi Integrated Solar Dryer (INSOLER) iaitu sebuah projek kerjasama antara UMS dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Inovasi yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik  diketuai Prof. Madya Dr Jidon @ Adrian Janaun turut menjadi antara penyumbang pingat emas bagi kontinjen UMS.

Jidon yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS memaklumkan sebanyak 14 produk inovasi UMS telah dipertandingkan pada program yang diadakan selama tiga hari itu.

“Bagi kategori fizikal, UMS menghantar enam produk inovasi merangkumi tiga kluster berbeza termasuk kategori Air dan Makanan, Pertanian dan Perhutanan, serta Alam Sekitar dan Biodiversiti.

“Manakala bagi ketagori maya, sebanyak lapan inovasi UMS telah dipertandingkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PECIPTA 2022 merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan kerjasama institusi-institusi pengajian yang menyaksikan UMK sebagai tuan rumah bagi penganjuran kali ini.

Hadir sama sepanjang pertandingan ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Ir. Dr.  Rosalam Haji Sarbatly.

Menurut Rosalam, produk UMS yang dihantar ke PECIPTA 2022 terdiri daripada inovasi yang memberikan impak langsung kepada industri dan masyarakat serta komuniti dunia.

“Konsep penyertaan UMS juga mengetengahkan produk yang dapat melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi di samping memberikan penyelesaian kepada permasalahan semasa.

“Tahniah kepada semua penyelidik atas pencapaian tersebut. Dengan pengiktirafan ini, diharapkan mereka akan terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi universiti serta memartabatkan nama UMS di persada kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Hj Mansor turut merakamkan ucapan syabas atas kejayaan yang dikecapi para penyelidik yang bertanding.

“Ini merupakan komitmen berterusan tenaga akademik UMS ke arah meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. -MalaysiaGazette