Pendayung Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperoleh empat pingat emas dan dua perak dalam Kejohanan Regatta Rowing Putrajaya yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober lalu.

PUTRAJAYA – Pendayung Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memonopoli pingat emas dalam Kejohanan Regatta Rowing Putrajaya yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober lalu.

UTHM memperoleh empat pingat emas dan dua perak dalam acara mendayung peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Mendayung Malaysia (PERDAMA).

Jurulatih Mendayung UTHM, Aizat Md Zaini berkata, atlet universiti itu menjalani latihan dan persiapan rapi sepanjang cuti semester untuk Regatta Rowing Kebangsaan tahun ini.

“Pihak kami amat bersyukur apabila atlet UTHM telah dipilih oleh Persatuan Rowing Johor (JoRA) untuk menyertai acara Terbuka bagi mewakili negeri Johor.

“Selain pendayung UTHM, beberapa alumni UTHM yang masih aktif dalam sukan mendayung seperti Dr. Mohd Zulfadli Rozali turut mewakili Johor dalam acara terbuka sekali gus membantu pasukan Johor memperoleh tiga pingat emas,” katanya dalam kenyataan.

Antara pendayung-pendayung UTHM yang menyertai Kejohanan Regatta Rowing Putrajaya yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober lalu.

Pencapaian yang memberangsangkan itu membantu kepada penjenamaan UTHM sebagai kuasa besar dalam sukan air di Malaysia, selain dapat membantu universiti melahirkan pelajar yang holistik.

Kejohanan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Persatuan Rowing Putrajaya dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu mempertandingkan 28 acara melibatkan empat kategori iaitu Master, Terbuka, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Remaja. -MalaysiaGazette