KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida mengakui terkejut apabila berdepan dengan dakwaan memuat naik komunikasi bersifat sumbang beberapa bulan lalu.
Wanita berusia 51 tahun itu dilihat tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Sepang pada pukul 9.50 pagi.
“Saya terkejut dan tidak pasti hendak mengaku bersalah atau tidak,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil, mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang.
Semalam Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), berkata ahli perniagaan itu akan didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Ahli perniagaan itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Sepang, pada jam 9 pagi,” katanya.
Media melaporkan, kesalahan membabitkan wanita itu adalah menerusi laman web Youtube iaitu melalui sebuah lagu yang viral di media sosial, sekitar beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang pada April lalu.
Aliff Syukri yang juga orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil, dan meminta dibicarakan. – MalaysiaGazette