JERANTUT – Perikatan Nasional (PN) Pahang melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bertemakan ‘Pahang Berkat Makmur Sejahtera’ di sini malam ini.

Manifesto tersebut dilancarkan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam majlis ringkas yang diadakan di Dataran berdekatan Dewan Majlis Daerah Jerantut.

Ia antara lain menawarkan 12 tawaran dan 45 inisiatif, seperti berikut :

  1. Pahang mendaulatkan agama.
  • Menjamin hal dan keadilan serta keharmonian untuk semua golongan dalam kepelbagaian agama dan budaya.
  1. Pahang mendukung sistem tadbir urus negeri, bersih, berintegriti dan cekap.
  • Menambahbaik sistem penyampaian dasar kerajaan negeri kepada rakyat dengan lebih cekap dan efisien.
  1. Pahang cemerlang pendidikan
  • Memperkasa Sekolah Menengah Agama Negeri (Pembangunan Fizikal & Skim Perkhidmatan Guru).
  1. Pahang suburkan ekonomi
  • Memperkasa dan merakyatkan Industri Kecil & Sederhana (IKS) termasuk di kawasan Felda.
  1. Pahang memperkasakan pemilikan rumah
  • meningkatkan peluang memiliki rumah bagi rakyat Pahang pada usia seawal 35 tahun bagi mereka yang layak.
  1. Pahang Alam Sekitar Lestari
  • Memperkemas proses libat urus bersama organisasi bukan kerajaan (NGO) dan Aktivis Alam Sekitar.
  1. Pahang Belia Bermaruah
  • Menyediakan inisiatif perniagaan (bantuan memulakan perniagaan, pengenalan produk, kursus kemahiran, dan pengurusan produk serta kewangan.
  1. Pahang Belia Lestari
  • Memperkasa usahawan belia dengan sasaran melahirkan 5,000 belia dalam bidang keusahawanan, termasuk dalam bidang ekonomi digital dan Gig.
  1. Pahang Memartabatkan Wanita dan Warga Emas
  • Memberi kemudahan Cuti Khas kepada kakitangan Awam wanita bagi Penjagaan anak sakit Kronik sehingga 14 hori.
  1. Bantuan Perkahwinan Anak Pahang
  • Menaikkan bantuan Perkahwinan sehingga RM5, 000 melalui Walimah Perdana di seluruh negeri bagi pasangan yang berkelayakan.
  1. Bantuan Pengajian Anak Pahang
  • Memberi blasiswa kepada anak ke 3 dan ke atas untuk membantu pembiayaan persekolahan.
  1. Pahang Perkasa Pelancongan & Kebudayaan
  • Memperkasa industri inap desa (homestay) sebagai daya tarikan & produk pelancongan di setiap daerah.

Turut hadir dalam program ceramah umum dan pelancaran manifesto itu adalah Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Dalam ucapannya, Saifuddin berkata, manifesto tersebut merupakan antara formula dan solusi yang dihidangkan PN khusus untuk rakyat di Pahang.

Sementara itu, majlis tersebut turut dihadiri calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selain Ketua Penerangan Pas Pusat yang juga calon PN kerusi Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin.- MalaysiaGazette