IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak akan meminda Enakmen Perlembagaan Negeri bagi melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kalangan kumpulan minoriti dan belia jika memperolehi majoriti dua pertiga.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia akan memastikan kestabilan politik di negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Perkara ini memang pernah di buat Sabah ketika kerajaan negeri itu dalam keadaan ‘flip flop’, pindaan itu mendapat kelulusan. Jika kita dapat lebih 40 kerusi di Perak, kita akan bawa satu usul ini selain daripada 59 kerusi yang dipertandingkan dalam PRU, maka ada beberapa kerusi untuk melantik wakil rakyat lantikan.
“Mereka itu tujuannya melantik golongan minoriti dan kumpulan belia. Ini antara janji kita. ADUN lantikan tidak ada kawasan, tidak bertanding. Jika peringkat Persekutuan, kita cakap lantikan Senator,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran Manifesto BN Perak di Padang Permainan Meru Raya, Taman Meru Permai, di sini, hari ini.
Secara umum, Manifesto BN Perak meletakkan satu matlamat iaitu Kestabilan Demi Kesejahteraan yang didukung oleh lima usaha, empat fokus serta menggariskan 75 inisiatif yang akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain melantik ADUN lantikan, Saarani yang juga Menteri Perak berkata, Enakmen Anti Lompat Parti akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras dengan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, BN juga berjanji akan meneruskan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua kawasan DUN. – MalaysiaGazette