Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR – Umat Islam di Negeri Selangor yang mahu melaksanakan pelaksanaan ibadah umrah perlu mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh Arab Saudi agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini khususnya yang melibatkan pelanggaran tempoh visa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, mereka yang merancang untuk mengerjakan umrah perlu lebih berhati-hati agar perkara yang menimpa jemaah umrah yang terkandas baru-baru ini tidak berlaku pada orang lain.

Beliau mengulas kejadian 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas.

Mereka adalah jemaah yang dibawa mengerjakan ibadah umrah melalui kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan baru-baru ini berkata, urusan membawa pulang jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi yang juga melibatkan jemaah dari Negeri Selangor.

Jemaah dari Negeri Selangor itu telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi 7 November 2022 yang merupakan ketibaan kedua melibatkan jemaah umrah yang terkandas.

Menurut salah seorang jemaah dari Negeri Selangor yang ditemui di lapangan terbang semalam melahirkan rasa syukur kerana selamat tiba di tanah air dengan bantuan pelbagai pihak.

”Alhamdulillah, kami merasa sangat bersyukur apabila dapat kembali ke tanah air, memandangkan kami telah putus bekalan dan perbelanjaan di sana,” ujarnya. – MalaysiaGazette