CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini memperkenalkan program takaful kemalangan diri, myPOLISPA dan myPENGUATKUASAPA, bagi memberi perlindungan khas kepada anggota polis dan penguatkuasa bersenjata di negara ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kedua-dua program takaful itu dengan bayaran serendah RM8 sebulan menawarkan perlindungan sehingga RM440,000 sekiranya ditimpa kemalangan, termasuk ketika sedang bertugas.

“Inisiatif tersebut dilaksanakan oleh CUEPACS sebagai alternatif dalam memastikan kebajikan seramai 300,000 anggota polis dan penguatkuasa keselamatan bersenjata dalam Jabatan Pengangkutan Jalan, Kastam, Imigresen dan kakitangan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara terjamin memandangkan tidak banyak polisi takaful yang menawarkan perlindungan sewaktu bertugas.

“Dengan aspirasi melindungi mereka yang melindungi kita, kita berharap myPOLISPA dan myPENGUATKUASAPA mampu memberi perlindungan daripada segi kewangan kepada anggota polis dan penguatkuasa bersenjata memandangkan tugas mereka yang sentiasa terdedah dengan bahaya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran takaful tersebut yang disempurnakan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman.

Tambah beliau, antara manfaat yang ditawarkan myPOLISPA dan myPENGUATKUASAPA adalah perlindungan untuk kemalangan dalam pengangkutan awam dan kenderaan persendirian, pembunuhan, serangan, mogok, rusuhan, penahan petir, pendedahan radiasi, kehilangan, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan serta khairat kematian.

“Risiko berlakunya kemalangan dalam kalangan anggota polis dan penguatkuasa bersenjata sangat tinggi dan dengan pengenalan program perlindungan takaful mampu milik ini, CUEPACS berharap penjawat awam tidak membiarkan diri mereka ‘kosong’ tanpa perlindungan tambahan.

“Walaupun pihak kerajaan ada memberikan bantuan daripada segi kewangan, perlindungan tambahan ini sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada ahli keluarga sekiranya terjadi sesuatu perkara di luar kawalan terutama penjawat awam yang merupakan pencari nafkah tunggal keluarga,” ujarnya.-MalaysiaGazette