SEPERTI Sungai Pahang, permukaannya tenang namun arus di dasarnya kadangkala kuat ditolak air dari hulu.

Ia bukan sahaja menghanyutkan pasir tetapi bongkah kayu di dalamnya juga beralih jika arus benar-benar kuat seperti banjir yang sering berlaku.

Begitu juga suasana politik di Pahang sejak bermulanya penamaan calon pada 5 November lalu -semua nampak tenang bagi Barisan Nasional (BN) namun di dasarnya sedikit bergelombang.

Ramai mengatakan ia sekadar ‘ribut di dalam cawan’ terutama tindakan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Muttalib yang ‘berpindah’ ke kem Perikatan Nasional (PN) selepas namanya digugurkan dalam senarai BN.

Walaupun tidak agresif seperti Datuk Seri Shahidan Kassim menyuarakan bantahan namun tindakan senyap-senyap melanggar peraturan parti ternyata memberi kesan kepada BN Pahang.

Beliau menyatakan tindakan itu dibuat selepas mengadakan solat isktikharah.

Ismail merupakan Ahli Parlimen Maran selama empat penggal dan isterinya pula merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Maran.

Menurut sumber, ia sedikit sebanyak memberi penurunan sokongan hampir 30 peratus terhadap BN di Maran.

Calon BN Parlimen Maran kali ini adalah Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Bagaimanapun Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail segera ‘menutup lubang’ dengan mengarahkan jentera supaya setia kepada parti dan bukan kepada bekas pemimpin  berpaling tadah.

Malah beliau mahu ahli-ahli parti ‘menghukum’ Ismail dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini bagi dijadikan pengajaran.

Dalam pada itu, Perikatan Nasional (PN) pula menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon Menteri Besar jika merampas Pahang sebagai strategi.

Tuan Ibrahim akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Pahang – kawasan yang dijangka memberi kemenangan mudah kepadanya kerana berasal dari sana.

Dalam masa sama, beliau masih mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian di Kelantan.

Aura itu sudah tentu sedikit sebanyak mempengaruhi trend pengundian di kawasan lain di Pahang yang menyenangi ulamak dari Pas itu.

Semasa berucap sempena pelancaran Manifesto PH Pahang di Jerantut, Tuan Ibrahim sudah mula bercakap mengenai rancangannya membaiki pentadbiran kerajaan negeri.

Selain itu, pencalonan Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin sebagai calon PN Parlimen Jerantut juga salah satu misi Pas mahu ‘mengambil’ Pahang selepas Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun buah dari BN senang, jika Tuan Ibrahim mahu menjadi MB Pahang kenapa kena mempertahankan Kubang Kerian?

Wan Rosdy menyatakan, jika Tuan Ibrahim menang dua-duanya bagaimana mahu memberi perkhidmatan benar-benar berkesan di dua tempat sekaligus.

Malah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri juga menyatakan kehairanannya dengan tindakan Tuan Ibrahim.

Malah Perdana Menteri menegaskan, Pas tidak pernah belajar daripada pengalaman lalu kerana sering diperalatkan oleh Parti Bersatu di gabungan PN.

Menurutnya, Bersatu menggunakan Pas kerana parti itu akan ‘patah kaki’ kerana tidak ada jentera akar umbi untuk berkempen.

Satu lagi, aura calon Melayu Pakatan Harapan (PH) mewakili DAP, Young Syefura Othman mungkin boleh memberi cabaran kepada bekas Presiden MCA, Tan Sri Tan Sri Liow Tiong Lai bagi kerusi Parlimen Bentong.

Bagi calon Gerakan Tanah Air (GTA), Aminuddin Yahaya, tokoh NGO itu dilihat masih terlalu awal mencipta kejayaan di Parlimen Temerloh – lebih-lebih lagi apabila 20 ahli Parti Pejuang bertindak beralih menyokong PN baru-baru ini.

Bagaimanapun, walaupun arus mendesah namun penganalisa politik tempatan yakin BN masih menerajui Pahang selepas PRU15 walaupun mengakui ada kejutan di beberapa kerusi di negeri itu gara-gara pertembungan empat penjuru.

Apa pun, masa masih berbaki untuk semua gabungan parti memberi keyakinan terhadap para pengundi.- MalaysiaGazette