Pengerusi BN Perak yang juga calon Barisan Nasional (BN) N. 04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Padang Permainan Meru Jaya, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2022.

IPOH – Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau tidak menghadapi kesukaran untuk mengisytiharkan aset kerana jumlah hartanya tidak banyak berbanding Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu berkata, jika pengisytiharan harta menjadi syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk bertanding, beliau jauh lebih miskin daripada Rafizi; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

“Kita pun bukanlah kaya mana jika hendak bandingkan saya dengan Rafizi Ramli, saya jauh lagi miskin.

“Hendak banding saya dengan calon PKR Tanah Merah (Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor), saya amat jauh miskin.

“Hendak banding saya dengan Nga Kor Ming, saya sangat-sangat miskin. Saya tidak bimbang langsung jika perlu mengisytiharkan harta,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN Perak di Padang Permainan Meru Raya, Taman Meru Permai, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan aset bersih terkumpul 80 calon PKR yang bertanding peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melebihi RM354 juta, seperti yang disiarkan menerusi sesawang, calonkeadilan.org.

Bagaimanapun, ketika semakan dibuat, dokumen dalam format PDF untuk pengisytiharan harta milik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail belum dimuat naik.

Antara yang mengisytiharkan aset bersih paling banyak dalam senarai itu adalah calon PKR bagi Parlimen Tanah Merah iaitu Mohamad Suparadi Md Noor dengan harta berjumlah RM106.1 juta diikuti calon Parlimen Sungai Buloh iaitu Datuk R Ramanan berjumlah RM63.5 juta manakala Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Menurut Saarani, beliau juga berdebar-debar menanti Anwar dan Wan Azizah untuk mengisytiharkan harta mereka. – MalaysiaGazette