REMBAU – Dua penduduk di Taman Pinggiran Pedas di sini mengalami kerugian hampir RM30,000 setelah kereta mereka rosak teruk akibat kejadian tanah runtuh, malam tadi.
Menurut Mohd. Hafizuddin Hashim, 31, kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu pertama kali berlaku sejak mereka mendiami taman perumahan tersebut 20 tahun lalu.
Katanya, tembok batu yang memagari rumah jirannya tiba-tiba roboh pada pukul 7.15 malam dan menyebabkan runtuhan tanah dan batu menimpa kereta jenis Proton Saga miliknya dan kereta Proton Saga milik jirannya, Mohd. Aidil Kamsani, 45.
“Semasa itu kami berada di garaj di mana kedua-dua buah kereta diletakkan. Tiba-tiba kami dengar bunyi yang agak kuat sebelum menyedari tanah di sebelah garaj menggelongsor.
“Kami berdua cepat-cepat beredar dari situ dan tidak mengalami kecederaan namun kereta kami tidak sempat diselamatkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.
Sementara itu, Mohd. Aidil berharap agar ada pihak yang dapat membantu meringankan beban mereka untuk membaiki kereta yang rosak.
Dia menjelaskan, kedua-dua kereta tersebut digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja dan berniaga.
“Polisi insurans tidak meliputi bencana alam, jadi kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membaiki kereta.
“Bila kereta tidak dapat digunakan, susahlah kami hendak keluar mencari rezeki,” katanya.
Semalam, daerah ini dilanda hujan lebat mulai pukul 3 petang hingga 10 malam.
Calon-calon yang bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau wakil-wakil mereka telah menziarahi Mohd. Hafizuddin dan Mohd. Aidil.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd. Hafizuddin di talian 019-3950311. – MalaysiaGazette