PAGOH – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar layak memegang jawatan Perdana Menteri pada masa hadapan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau mengakui Khairy mempunyai kredibiliti yang baik dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas sebagai menteri dan boleh dianggap cemerlang.
“Saya fikir mungkin memang bukan satu cakap kosong. Dia seorang tokoh yang bagus, malah dalam Kabinet saya pun dia antara orang yang dipercayai.
“Dia menguruskan soal Covid-19 dan sebagainya dengan baik, ada masa depan yang baik, cuma dia ada dalam parti yang salah.
“Tapi tak mengapalah, semua orang mempunyai cita-cita untuk jadi apa sekalipun. Tak perlu tanya kenapa kau nak jadi PM? Itu impian dia. Tapi bila masanya?
“Mungkin dia kena ambil alih UMNO dan jadi presiden. Peroleh jumlah kerusi yang banyak serta boleh membentuk kerajaan ketika itu. Ketika ini dia boleh cakap sahaja, tak salah pun,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat di Kampung Panjang Sari, di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui Menteri Kesihatan itu layak menerajui negara pada masa hadapan.
Menurut Ismail Sabri, langkah pertama adalah Khairy perlu memenangi pilihan raya dan mendapat sokongan majoriti parti terlebih dahulu sebelum dilantik memegang jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette