KUALA LUMPUR – Pembuat kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) sedang berusaha mengukuhkan keupayaan kenderaan elektrik (EV) dan merancang untuk menghasilkan EV sendiri menjelang 2027, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah.
Roslan menjelaskan, Proton telah berbincang dengan rakan kongsi yang berpotensi bagi memulakan usaha itu kerana ia tidak boleh tergesa-gesa berbuat demikian tanpa memahami teknik penjualan serta pemasaran kenderaan tersebut.
Pelan hala tuju EV Proton telah bermula semenjak 10 tahun lepas tetapi ia terbantut disebabkan permintaan pasaran dan teknologi semasa.
“Jadi, lima tahun akan datang (sehingga 2027) akan memberi kami masa yang mencukupi untuk menentukan teknologi mana yang paling mudah diterima, senang diselenggara dan mampu dimiliki oleh kami serta pengguna,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan panel pada acara Invest Malaysia Siri 2, bertajuk ‘The Road to EV’ di sini hari ini.
Sebelum memajukan EV sendiri, Roslan berkata, Proton akan menimba lebih banyak pengalaman melalui kerjasama dengan Smart Automobile Co Ltd sebagai pengedar baharu Proton di Malaysia dan Thailand.
“Kerjasama dengan Smart Automobile dan pengedaran kereta pintar ini akan mengajar kami (Proton) bagaimana untuk memasang EV di dalam negara termasuk memberi kami pengalaman serta pengetahuan mengenai proses pemasangan,” katanya.
Smart Automobile adalah usaha sama yang ditubuhkan oleh Mercedes-Benz AG dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi kenderaan tenaga baharu (NEV) dalam menembusi pasaran Malaysia, Roslan memberitahu, penyelesaian itu memerlukan sokongan yang lebih kukuh daripada kerajaan, kesediaan industri yang lebih baik dan peralihan minat pelanggan terhadap EV.
Beliau berkata, jualan EV meningkat kepada 3.4 peratus atau 13,800 unit tahun setakat ini, dengan EV hibrid lebih popular berbanding EV berkuasa bateri.
“Terdapat cabaran utama yang perlu diatasi, masa dan usaha kolektif.
“Cabaran ini termasuk Malaysia tidak mempunyai banyak kereta EV mampu milik, penerimaan pengguna masih perlahan, kurang kejelasan dalam pembangunan infrastruktur pengecasan EV, pembangunan bakat dalam segmen EV selain kekurangan pelaburan dalam teknologi berkaitan,” katanya.
Roslan berkata, lebih banyak pembangunan dan sokongan kepada industri EV diperlukan untuk bergerak ke hadapan.
“Ini termasuk program penyelidikan dan pembangunan, pelaburan dalam rantaian bekalan, teknologi serta penyediaan infrastruktur EV yang lebih baik,” katanya. – Bernama