Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berucap pada Ceramah ‘Kata Janji KJ’ di Balai Masyarakat Saujana Utama Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 08 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Belum pun selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pembentangan manifesto untuk pengundi Parlimen Sungai Buloh, calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah mula memasang cita-cita untuk menerajui UMNO dan menjadi Perdana Menteri akan datang.

Bukan itu sahaja, Khairy secara terbuka membuat pengumuman itu di hadapan ratusan pengundi dan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dalam satu ceramah kelompok, malam ini.

“Dengan takdir Allah SWT, dengan sokongan daripada rakan-rakan, satu hari nanti saya nak pimpin UMNO, satu hari nanti saya nak jadi Perdana Menteri kamu untuk kita bangunkan negara ini.

“Tapi saya perlu menang di sini (Sungai Buloh) dulu. Tak pernah saya cakap, kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Tertinggi UMNO) nak pijak saya dan sudah sampai masanya saya nak sebutkan perkara itu.

“Saya rasa sudah sampai masanya saya cakap perkara itu, tapi bukan sekarang lah, sekarang ini kita menang, kekanda saya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya berucap pada Ceramah Kata Janji KJ di Saujana Utama, di sini, malam ini.

Tambahnya, bagaimanapun beliau akui tidak boleh menunggu lama untuk merealisasikan cita-citanya itu dan ia bermula dengan memenangkan BN di Parlimen Sungai Buloh pada 19 November ini.

“Saya umur 46 tahun boleh tunggu lagi, tapi jangan lama sangatlah, saya bersedia tapi saya kena buktikan dulu di Sungai Buloh.

“Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti saya datang ke kandang naga, 26,000 majoriti, saya menang kerusi untuk BN, saya mahu terajui parti, saya nak pimpin negara sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.