SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menyumbang sebanyak 20 unit Bas Smart Selangor untuk membantu RapidKL mengatasi masalah gangguan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) selama seminggu mulai esok.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun jumlah itu tidak mencukupi untuk menggerakkan orang ramai berulang alik ke tempat kerja, kerajaan negeri akan mencari inisiatif lain.
“Kita dukacita dengan insiden gangguan sistem LRT Laluan Kelana Jaya semalam, menyebabkan 16 stesen LRT ditutup.
“Bagi membantu ribuan pengguna yang terkesan dengan gangguan itu, kerajaan negeri akan menyumbangkan penggunaan 20 unit Bas Smart Selangor mulai esok.
“Ini sekurang-kurangnya dapat membantu RapidKL mengatasi masalah gangguan pengangkutan awam itu,” katanya pada sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) di sini, petang ini.
Semalam, perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung selama tujuh hari bermula jam 6 pagi ini selepas mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.
Rapid Rail Sdn. Bhd, (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bagaimanapun, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen Gombak ke Stesen Damai serta dari Stesen Lembah Subang ke Stesen Putra Heights.
Semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu jam 11 malam bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melakukan kerja rektifikasi dan baik pulih. – MalaysiaGazette