KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mahu menarik balik dakwaan bahawa DAP membawa ideologi komunis dan antituhan.
Sebaliknya, beliau bersedia untuk mengemukakan bukti susulan sekiranya perlu.
“Saya tidak akan mohon maaf atau tarik balik (kenyataan itu). Eloklah (mereka) buat laporan polis, memang saya kenal beberapa orang (pimpinan DAP) yang tak percaya tuhan. (Mereka) pernah bercampur dengan kami, tak perlu sebut nama.
“Nanti jumpalah di mahkamah. Saya boleh tunjuk bukti,” kata Presiden Pas itu menurut laporan Berita Harian Online.
Kenyataan itu dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap Presiden Pas itu.
Lip Eng berkata, antara lain Abdul Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta antituhan dalam majlis di Temerloh, Pahang, kelmarin.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pengaruh komunis dalam pentadbiran DAP terserlah ketika parti itu mentadbir Pulau Pinang.
Katanya, pemimpin DAP di negeri itu memerintah seperti mana yang berlaku di Singapura.
DAP tonjolkan calon Melayu sebagai alat politik, macam Lee Kuan Yew pernah buat di Singapura, gunakan parti Melayu.
“Sebab itu mereka nak lantik (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sebab Anwar ikut (arahan) dia,” katanya.
Abdul Hadi turut memberitahu, beliau sudah dipanggil polis untuk memberikan keterangan berhubung kenyataan tersebut.
“Polis dah panggil saya ke Bukit Aman. (Pada mulanya) polis nak datang ke rumah, tetapi saya pilih untuk pergi (Bukit Aman). Yang datang (uruskan) pun polis (berbangsa) India, bukan Melayu. Jika (polis) Melayu, mungkin boleh cetus sentimen kaum dan sebagainya.
“Ada buktinya yang saya telah kemukakan kepada Bukit Aman,” katanya. – MalaysiaGazette