Sahruddin Jamal

PAGOH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak bijak apabila menggunakan taktik mengaitkan kes kematian akibat Covid-19 dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum (PRU) di Johor.

Pandangan itu dilontarkan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal apabila berkata, Anwar cuba menggunakan isu itu bagi menunjukkan kelemahan Muhyiddin mentadbir negara sedang dia tahu apa sebenarnya yang berlaku ketika itu.

“Pandangan saya sebenarnya itu komen yang kurang bijak kerana bukan hanya Malaysia yang dilanda Covid tapi seluruh dunia.

“Memang kita ada SOP daripada Kementerian Kesihatan. Bila Covid tinggi semua kena duduk di rumah, tak boleh bekerja..

“Kematian ya, kematian kerana Covid dan kita kena bandingkan dengan negara-negara lain…adakah kita yang paling tinggi, adakah kita (negara) yang paling ramai orang meninggal,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN) di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan mengenai tindakan Anwar yang menyerang Muhyiddin menggunakan isu berkenaan ketika membantu kempen calon PH, Onn Abu Bakar di Batu Pahat, kelmarin.

Mengulas lanjut, Sahruddin berkata, Malaysia merupakan negara yang terbaik di dunia dalam menangani masalah Covid-19 ketika di zaman Muhyyidin berbanding dengan negara-negara lain.

Sambil memberikan contoh beliau berkata, di China sehingga kini sesetengah kawasan di negara itu masih lagi disekat.

Bagaimanapun, beliau berkata, atas kebijaksanaan Muhyiddin mentadbir negara sebelum ini, Malaysia berjaya membawa keluar masalah yang berlaku daripada berterusan.

“Bagi saya Datuk Seri Anwar tidak bijak bila dia sebutkan perkataan itu…memang sangat-sangat tidak bijak..

“Kita apapun bila mengatur negara ini, kita akan berbincang, kita akan tanya ketua-ketua jabatan dan profesional macam mana kita nak menangani kes covid, macam mana kita nak membangunkan negara ini dengan lebih baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette