Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon BN N.37 Guai, Datuk Sabariah Saidin (tiga kanan) bergambar kenangan dengan golongan muda yang hadir pada Program Ramah Mesra bersama Penduduk Kampung Batu Bor sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2022.

BERA – Setakat ini, Barisan Nasional (BN) yakin mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seterusnya boleh membentuk kerajaan.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan maklumat terkini yang dibentangkan pada mesyuarat ‘Top Five’ UMNO hari ini.

Walaupun BN boleh membentuk kerajaan namun beliau percaya BN tidak akan bersendirian dalam membentuk kerajaan sebaliknya bersama dengan rakan BN dari Sabah dan Sarawak.

“Kita memerlukan kerajaan yang lebih kuat. Kita perlukan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak untuk bersama kita dan mengharapkan sokongan mereka untuk memperkuatkan kerajaan yang dibentuk pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra di Kampung Batu Bor di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri walaupun 112 kerusi Parlimen sudah boleh membentuk kerajaan kerana tidak boleh lagi berlaku lompat parti tetapi kerjasama itu nanti perlu amhu menubuhkan kerajaan yang lebih kuat.

Dalam taklimat yang sama, BN juga mendapati mood pengundi di seluruh negara semakin menyokong BN.

Sokongan kali ini bukan sahaja dari pengundi luar bandar dan kawasan urban selain pengundi bukan Melayu juga sudah kembali memberikan sokongan kepada BN.

“Pengundi juga dilihat membuat perbandingan prestasi Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir kerajaan pada 2018 dengan kejayaan pentadbiran BN sebelumnya.

“Jadi mereka lebih yakin bahawa BN mampu bawa negara ke tahap lebih baik berbanding PH,” ujarnya. – MalaysiaGazette