Menteri Besar Pahang yang juga calon Barisan Nasional N.02 Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Barisan Nasional di Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang. Turut hadir calon DUN Jengka, Norshamimi Abdul Ghani dan calon DUN Jenderak, Rozuan Zaaba (duduk di belakang). Foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2022.

KUALA KRAU  – Barisan Nasional (BN) Pahang yakin pihaknya akan merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka pada Pilihan Raya Umum (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin selepas melihat aura sokongan semakin meningkat ‘membirukan’ DUN Jengka yang dikuasai Pas pada PRU14.

“Saya berpendapat calon yang kita kemuka ini seorang Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Krau (Norshamimi Abdul Ghani). Walaupun beliau tidak memegang jawatan politik sebagai wakil rakyat namun beliau mempunyai track record yang baik.

“PRU14 lalu kita menghadapi kekalahan tipis di DUN Jengka manakala di Kerdau dan Jenderak masih di bawah BN.

“Saya optimis dan yakin kerusi Jengka dapat kita ambil kembali, walaupun Jengka tidak dikuasai BN pada PRU14 tetapi kerajaan negeri dan persekutuan melalui ahli Parlimen  telah banyak membantu kawasan. Kita tidak pernah mengabaikan Jengka,” kata Wan Rosdy selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin BN di Parlimen Kuala Krau petang tadi.

Hadir sama penyandang kerusi Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan penyandang DUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ahmad Syed Ibrahim.

Norshamimi yang juga muka baharu mewakili BN bakal berdepan Sharil Azman Abd Halim Al-hafiz mewakili Perikatan nasional (PN) dan Jamaludin dari Pakatan Harapan (PH) bagi merebut kerusi DUN Jengka kali ini.

Ditanya soal persiapan dan persaingan pihak lawan, beliau berpendapat, menang dan kalah memang adat bertanding namunn apa yang penting sebagai calon perlu berusaha untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

“Setakat hari ini berkempen kita jumpa pengundi nampak respon positif para pengundi jadi harapannya untuk memenangi kerusi DUN Jengka kembali semakin cerah.

“Kita sama-sama bertanding, dia ada cara dia, kita ada acara kita, tiada isu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, calon BN bagi DUN Jenderak, Rozuan Zaaba yang juga calon muka baharu dan kali pertama dicalonkan menyifatkan PRU15 kali ini disertai gelombang orang muda.

“Jenderak, insya-Allah boleh memang dengan kerja kuat oleh para jentera. Walaupun tsunami politik pada PRU14 tapi kita mampu menawan hati rakyat pada ketika itu.

“Kini cabaran dengan lebih 3,000 pengundi muda yang bakal mengundi pada PRU15 nanti dan setakat ini sambutan pengundi muda menggalakkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette