Menteri Besar Pahang yang juga calon Barisan Nasional N.02 Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga kiri) bersama Bendahari Agung Barisan Nasional yang juga calon Barisan Nasional P.153 Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tiga kanan), calon Barisan Nasional P.087 Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said (dua kanan) bersama tiga calon DUN yang lain bergambar sambil melaungkan 'Hidup BN' pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Barisan Nasional di Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2022.

KUALA KRAU – Kebanyakan isu dalaman Barisan Nasional (BN) di Johor dan Pahang berjaya diselesaikan menjelang minggu kedua dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang membuat tinjauan di negerinya dan Pahang mendapati, ia sudah diselesaikan secara keluarga.

Isu dalaman yang dimaksudkannya adalah rasa tidak puas hati peringkat awal mengenai calon MCA di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sembrong dan Raub yang majoritinya Melayu.

“(Pahang) sama dengan Johor di Parlimen saya di Sembrong ada perkara-perkara terpaksa diurus dalam rumahtangga kita (BN).

“Kebanyakan isu dalaman telah selesai dan tinggal beberapa hari sahaja lagi kita gerak habis-habisan untuk menangkan calon-calon kita,” ujarnya yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Sembrong dan Menteri Kanan Pertahanan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemimpin BN Parlimen Kuala Krau.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi BN Pahang merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon BN Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Mengenai lawatannya ke Parlimen Raub, Hishammudin yakin BN akan memenangi kerusi Parlimen Raub yang ditandingi wakil MCA, Datuk Chong Sin Woon. – MalaysiaGazette