Noraini Ahmad

MUAR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  terus memantau perkembangan pelajar yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Slim Lama, Tanjung Malim, lewat petang semalam.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, KPT mengambil maklum mengenai insiden tersebut dan arahan telah diberikan kepada universiti berkenaan.

“Berdasarkan laporan awal yang diterima, semua pelajar yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Slim River untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya telah meminta pihak UPSI untuk terus memantau perkembangan pelajar dan memastikan kesihatan dan kebajikan mereka terjaga sepanjang rawatan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kejadian petang semalam, bas yang membawa kira-kira 60 pelajar universiti berkenaan dipercayai terbabas sebelum terbalik.

Seramai 11 orang penumpang termasuk pemandu mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Polis memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan dan perkembangan kes akan dimaklumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

Bas bawa pelajar universiti terbalik di Tanjung Malim