KUALA LUMPUR – Rapid KL mengambil langkah tambahan dengan menyediakan 40 lagi buah bas perantara percuma bermula hari ini (10 November) untuk penumpang yang terjejas dengan penutupan 16 stesen LRT Laluan Kelana Jaya akibat masalah gangguan teknikal.
Menurut satu kenyataan, Rapid Bus mendapat kerjasama daripada Smart Selangor dan Mara Liner dengan masing-masing menyediakan 20 buah bas di bawah kendalian mereka.
“Buat masa ini, pihak Rapid Bus menyediakan sebanyak 83 buah bas bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi.
“Jumlah bas perantara kepada lebih daripada 120 buah itu adalah bagi menampung penumpang di lima laluan seperti yang disiarkan di media sosial Rapid KL,” kata kenyataan itu.
Lima laluan tersebut ialah Laluan LRT 1: Stesen Ara Damansara – Stesen Pasar Seni, Laluan LRT 2: Stesen Ara Damansara – Stesen Kelana Jaya, Laluan LRT 3: Stesen Kelana Jaya – Stesen Pasar Seni, Laluan LRT 4: Stesen Pasar Seni – Stesen Masjid Jamek dan Laluan LRT 5: Stesen Masjid Jamek – Stesen Dato’ Keramat
Menurut kenyataan itu, bagi menambah jumlah kakitangan di stesen untuk memantapkan kawalan pergerakan penumpang, seramai 80 orang daripada kalangan warga Prasarana akan ditempatkan di stesen-stesen untuk membantu penumpang daripada segi memberi panduan untuk menaiki bas perantara.
“Bagi penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan, pihak Rapid Rail akan memberi tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya,” kata kenyataan itu.
Ia akan dilaksanakan selepas perkhidmatan laluan tersebut dipulihkan dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette