Foto Facebook Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pengundi-pengundi diminta menilai semula kredibiliti pemimpin Pas pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kali ini.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, kebanyakan pemimpin Pas sudah dilihat terpesong dengan landasan yang pernah dibawa bekas pemimpin Pas terdahulu.

“Saya ambil contoh Ustaz Razman yang telah berkali-kali dibuktikan oleh mahkamah kerana memfitnah, namun beliau kekal dengan sikap bebal. Saya terkejut kerana tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang menegur malah masih diletakkan sebagai calon Perikatan Nasional di Dun Semanggol.

“Kini beliau cuba kitar semula fitnah lama menyerang saya dan rakan-rakan. Dan yang terbaru Ustaz Ahmad Dusuki dan Sanusi juga menyerang peribadi dan menggunapakai naratif longkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Razman pernah kalah saman fitnah kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Sebagai bekas rakan seperjuangan, Anwar melahirkan rasa kecewa dengan barisan parti pimpinan, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, pemimpin sedia ada Pas kini amat jauh berbeza dengan pemimpin seperti Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor.

“Ini sahajakah modal Pas untuk pilihanraya kali ini? Inikah politik matang dan sejahtera?

“Saya kecewa tatkala menghimbau keperibadian tinggi almarhum Tok Guru Nik Aziz dan almarhum Fadhil Noor dalam mengemudi Pas dahulu yang saya anggap jauh berbeda dengan Pas hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sikap beberapa pemimpin ini langsung tidak mencerminkan keindahan Islam yang sinonim dengan parti itu.

“Tidak mengapa untuk membenci saya tetapi dalam berpolitik harus ada adab dan etika. Ketengahkan fakta dan hujah kerana itu yang dimahukan rakyat, bukan budaya politik longkang yang dibalut dengan agama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast