KUALA LANGAT – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini diterajui oleh seorang diktator.
“Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini diterajui oleh seorang diktator yang mana ahli kepimpinan parti itu tidak boleh menyuarakan pendapat atau mengkritik parti”.
“Macam mana orang seperti ini ingin memimpin negara?”
“Kalau parti sendiri pun tak boleh uruskan, macam mana rakyat yakin boleh memimpin?” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pentas Perdana Perikatan Nasional (PN) Kuala Langat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), di Kampung Kanchong Darat, Banting, malam tadi.
Azmin mengulas mengenai pengguguran beberapa pemimpin PKR yang sebelum ini didakwa sehaluan dengannya daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Bagaimanapun, katanya, tindakan ke atas beberapa pemimpin itu meragukan.
“Kenapa Chua (Chua Tian Chuang) perlu mengambil kedudukan itu (digugurkan) untuk menjauhkan diri daripada saya? Saya bukan lagi dalam PKR, saya dipecat”
“Tetapi dia (Chua) masih dibayangi oleh Azmin dalam Keadilan dan PH. Saya tidak faham.” Katanya.
Sebelum ini sebuah portal tempatan melaporkan bekas Timbalan PKR, Tian Chua telah menolak cadangan bahawa dia pernah menjadi sebahagian daripada puak Azmin.
Terdahulu ketika berceramah, Azmin menyelar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana mendakwa menawarkan kerajaan yang stabil dan bersih.
Katanya, kedua-dua parti berkenaan hipokrit kerana berkata sedemikian walaupun meletakkan calon yang terpalit dengan tuduhan rasuah.
“Ada calon BN-UMNO sedang turun naik mahkamah, ada di kalangan mereka yang bergelumang dengan rasuah dan salahguna kuasa. Tetapi mereka langsung tidak merasa malu untuk mengemukakan kertas penamaan calon pada 5 November lalu”
“Begitu juga dengan PH, mereka mendabik dada bahawa mereka kerajaan reformasi ingin membawa islah dan pembaharuan.”
”Mereka menentang amalan rasuah tetapi berapa banyak calon PH yang sedang berdepan dengan tuduhan rasuah di mahkamah.” katanya sambil menjelaskan berbeza dengan PN, di mana tiada seorang pun calon pilihan rayanya terjerat dalam mana-mana kes mahkamah. -MalaysiaGazette