KUALA LUMPUR – Perit jerih rakyat menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dalam satu tempoh lama sebelum ini menjadi kayu ukur kepada pengundi dalam memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengundi veteran seperti Baharuddin Isa yang berusia 56 tahun berkata, pada waktu berkenaan keikhlasan wakil rakyat menjalankan tanggungjawab hakikinya terserlah.
Pengalaman ketika itu wajar dijadikan penilaian pengundi untuk melihat sama ada wakil rakyat yang dipilih sebelum ini berfungsi dengan baik atau sebaliknya.
Jika ketika rakyat memerlukan sekampit beras, telur, dan tepung akibat tidak mempunyai wang kerana tidak dapat bekerja tetapi rakyat yang diundi tidak hilang, maka kata Baharuddin, pemimpin seperti itu wajar dikekalkan.
Namun jika sebaliknya, wakil rakyat sebegitu diganti.
“Sebagai contoh di sini (Lembah Pantai), Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang kini menjadi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlan Askolani sentiasa bersama-sama membantu rakyat ketika PKP.
“Bukan hanya dikenali sebagai orang parti malah wakil rakyat sepatutnya dikenali kerana sentiasa bersama pengundinya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ujar beliau, rakyat perlu celik untuk menilai sejauh mana wakil rakyat yang akan dipilih dalam tempoh ini berkempen ini.
Katanya, wakil rakyat yang benar-benar boleh menjalankan tugas bukan hanya akan memberi senyum dan bersalaman dengan pengundi semasa berkempen.
Tetapi dalam masa yang sama sentiasa muncul di kawasannya dengan kerja-kerja kebajikan.
“YB (Yang Berhormat) yang tidak ambil berat isu setempat dan tidak membawa penyelesaian patut ditukar,” katanya lagi.
Selain itu Baharuddin berkata, menonjol di dalam parti yang diwakili, menyandang jawatan bukan bermakna wakil rakyat itu mampu menggalas tanggungjawabnya kepada rakyat.
“Sama juga yang hanya menonjol dalam parti tetapi tidak menjaga tempat yang memberikannya mandat. Terlalu pentingkan parti sampai tidak kenal pun pengundinya, dia lupa bahawa yang pilih dia rakyat,” kata penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai itu. – MalaysiaGazette