GEORGE TOWN – Selepas Selangor, Kerajaan Pulau Pinang turut menetapkan 18 November ini sebagai cuti umum khas bagi memudahkan pengundi yang bukan rakyat negeri ini untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu sebagai galakan kepada rakyat Pulau Pinang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Bersempena PRU-15 yang akan diadakan pada 19 November ini kerajaan negeri bersetuju untuk mengisytiharkan cuti khas negeri pada 18 November iaitu pada hari Jumaat,” katanya.

Ketika diminta mengulas bimbang pengundi gunakan cuti khas itu untuk pergi bercuti daripada balik kampung bagi menunaikan tanggungjawab mengundi, Kon Yeow berkata, sepatutnya Kerajaan Persekutuan memberikan pelepasan yang sama kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dengan itu seramai mungkin rakyat dapat menunaikan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara pada 19 November ini.

“Seeloknya ini diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan kerana jika cuti khas bagi seluruh negara jadi isu berbanding (rakyat pergi bercuti bukan mengundi) tak akan berbangkit.

“Bila Selangor cuti mungkin pengundi balik ke Kedah, Kelantan untuk mengundi kerana rata-rata bukan mengundi di Selangor dan situasi itu sama juga bagi Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum ini, Selangor dan Negeri Sembilan turut mengumumkan 18 November sebagai cuti umum bagi memudahkan rakyat di negeri berkenaan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 15 November dan hari mengundi 19 November ini. – MalaysiaGazette