Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan tempoh tujuh hari kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk membuat permohonan maaf atau berdepan tindakan undang-undang.

Timbalan Presiden Pas itu berkata, Rafizi memfitnah beliau dan mencadangkan agar Rafizi memberikan jumlah ganti rugi kepadanya.

Tuntutan itu disiarkan portal rasmi Pas, Harakahdaily.

Dalam laporan portal berkenaan, Tuan Ibrahim telah menyerahkan surat tuntutan berkenaan kepada Rafizi melalui firma guaman, Yusfarizal Aziz & Zaid.

“Firma kami juga diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa tindakan kamu mengeluarkan penyataan-penyataan fitnah tersebut telah dibuat dengan niat jahat dan didorong oleh dendam, permusuhan peribadi dan/atau motif yang tidak wajar dan/atau tidak lebih dari sekadar satu tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi anak guam kami di mata masyarakat demi kepentingan peribadi dan politik,” demikian menurut tuntutan berkenaan.

Tuan Ibrahim berbuat demikian selepas Rafizi didakwa memfitnahnya dalam isu kontrak tebatan banjir Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bernilai RM2 bilion.

Sebelum ini, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pandan itu mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat milik individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Malah Rafizi mendakwa beliau dimaklumkan sumber kerajaan bahawa usaha meluluskan segera projek itu bawah pentadbiran kerajaan sementara sebagai timbal balas selepas menerima dana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, Tuan Ibrahim mendesak agar Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jika mempunyai bukti.

Rafizi bagaimanapun tidak berbuat demikian. – MalaysiaGazette