Zamani dibenarkan keluar hospital hari ini selepas selamat menjalani pembedahan pada Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Zamani dibenarkan keluar daripada hospital hari ini selepas selamat menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang akibat penyakit scoliosis pada Isnin lalu.

Berita gembira itu dikongsikan oleh isterinya iaitu Nur Juliana Abd Rani yang turut memaklumkan keadaan Zamani kini semakin baik dan sudah boleh berjalan.

Menerusi hantaan terbaharu di Instagram miliknya, Juliana mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital dan semua yang mendoakan kesihatan penyanyi lagu Mentari Muncul Lagi.

“Alhamdulillah, Zamani telah dibenarkan keluar hospital petang ini.

“Saya dan Zamani ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada doktor, pasukan operasi pembedahan dan semua kakitangan hospital yang mengambil berat serta mendoakan Zamani,” tulisnya.

Sementara itu, Juliana turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Aznil Nawawi dan semua individu yang membantu mendapatkan dana buat pembedahan suaminya itu.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pak Nil, semua peminat-peminat, pihak media dan para penyumbang dana untuk Zamani.

“Segala budi baik dan doa anda semua amat kami hargai sehingga akhir hayat,” ujarnya.

Sebelum ini, Azil Nawawi menyampaikan sumbangan sebanyak RM122,052.93 menerusi hasil kutipan dana awam yang dilakukan untuk membantu Zamani sekitar Jun lalu.

Zamani menghidap penyakit skoliosis sejak 2015 dan keadaan dilihat semakin teruk apabila badannya tidak boleh berdiri tegak ekoran tulang belakangnya melengkung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast