Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (dua kanan) menyempurnakan pelancaran ePASS sambil diiringi Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (tiga kanan) dan Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (kanan) pada Perhimpunan Setia Berjasa Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 November 2022.

 

PUTRAJAYA – Sehingga semalam, sejumlah 92 kes kesalahan pilihan raya direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Menurut Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, statistik itu merangkumi pelbagai kesalahan termasuk melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Ia merangkumi pelbagai kesalahan seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya, media sosial dan lain-lain akta yang terpaksa kita tengok dan teliti betul-betul sebelum kita ambil tindakan.

“Kalau melanggar undang-undang yang lain daripada ini juga akan kita ambil tindakan. Maklum sahaja kadang- kadang berlaku perkara yang tidak diingini seperti rusuhan dan sebagainya.

“Sebab itu hanya bukan hanya merangkumi Akta Kesalahan Pilihan Raya tapi juga segala perkara lain yang boleh kita ambil tundakan terhadap mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Setia Berjasa Jabatan Imigresen Malaysia di KDN, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Dalam pada itu, Hamzah berkata tiada sebarang tangkapan dibuat polis.

Sebaliknya hanya siasatan yang digerakkan oleh badan siasatan itu.

“Buat masa ini kita buat siasatan dahulu, kemudian baru kita buat tangkapan. Kita tidak tangkap orang kalau tidak melakukan kesalahan,” jelas Hamzah lagi.

Sebelum ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendakwa, pihaknya mengesan banyak parti politik dan calon melakukan aktiviti kempen PRU15 yang boleh dianggap kesalahan pilihan raya.

Berdasarkan pemantauan, badan itu mendapati parti dan calon juga didakwa tidak menepati piawaian etika kempen pilihan raya yang adil seperti melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

BERSIH mendakwa, antara kesalahan berkenaan termasuk pemberian minyak motosikal dan menukar minyak hitam percuma oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di beberapa kawasan Parlimen dan DUN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast