Calon Pejuang P.088 Temerloh, Aminuddin Yahaya (tengah) beramah mesra dengan penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pekan Sehari Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

MENTAKAB – Selain tempat bersejarah, Temerloh yang masyhur dengan ikan patin sepatutnya mendapat promosi sehingga pasaran antarabangsa.

Calon Gabungan Tanah Air (GTA) kerusi Parlimen Temerloh, Aminuddin Yahaya berkata, usaha itu menjadi salah satu misinya dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).

“Temerloh memang terkenal dengan ikan patin. Tetapi mana? Tak banyak sangat promosinya. Ada, bukan tak ada tapi tak cukup.

“Saya yakin kalau betul diusahakan promosinya, bukan sahaja dalam negara, malah kita boleh eksport ikan patin ini,” katanya dalam ceramah umum di sini malam tadi.

Beliau mahu membela nasib penternak ikan patin dan risau sekiranya nanti akan dikuasai bekalan ikan dari kawasan lain pada masa depan.

“Ikan patin kita harap dapat dimartabatkan termasuk ke pasaran luar negara,” ujarnya lagi.

Aminuddin juga berjanji akan membantu belia di Temerloh mendapatkan pekerjaan.

“Kita mencadangkan untuk menubuhkan agensi pekerjaan. Mereka tidak dibantu untuk mencari pekerjaan tidak ada matchmaking sedangkan di luar sana banyak sebenarnya ruang untuk kita tempatkan mereka.

“Jadi ini misi kita untuk pemuda di sini. Saya sudah jumpa ratusan pemuda di Temerloh, semua mereka menyatakan masalah sukar mendapat pekerjaan dan pendapatan

“Insya-Allah kalau kami diberi mandat, kami akan tubuhkan agensi mencari pekerjaan untuk belia. Jadi anak-anak tuan-tuan dan puan-puan jangan takut, boleh cuba dapatkan connection kita di seluruh negara,” katanya lagi.

Aminuddin juga mahu menubuhkan pusat mediasi bagi mengekang berlaku salah faham antara kaum di Temerloh. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Isu ikan patin je ke? Cari idea yg lebih bernas.. Sape2 pun menang, industri ikan patin berjalan cam biasa..

Comments are closed.