Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) bergambar kenangan bersama penerima Pingat Setia Berjasa kepada anggota JIM sambil diiringi Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (empat kiri) dan Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (dua kanan) pada Perhimpunan Setia Berjasa Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 November 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menasihatkan pengundi agar tidak membuat pilihan yang salah semasa Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), 19 November ini.

Jelasnya, keputusan yang akan di ambil semua pengundi di negara ini akan mencerminkan masa depan golongan akan datang dan sekiranya pengundi membuat pilihan yang salah, maka ia akan memberikan kesan kepada negara kelak. 

Jelasnya, keputusan yang akan diambil itu mencerminkan masa depan kepada generasi akan datang dan memberi kesan kepada negara.

“Sayangi negara ini, jangan menzalimi anak cucu kita, kita bertanggungjawab.

“Salah kita mencari pemimpin yang boleh menyebabkan kita semua hadapi sesuatu yang paling runcing. Tak sampai beberapa hari lagi, kita akan menentukan masa depan negara,” katanya, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, adalah menjadi satu kezaliman kepada sesiapa sahaja yang berusaha untuk mengangkat individu yang banyak melakukan kesalahan sebagai pemimpin.

“Percaya dan yakinlah Allah sebut ini bukan hanya waktu dahulu tapi Allah sebutkan ini dalam Al-Quran, maka maknanya dia ada kini sehingga akhir zaman,” ujarnya.

Menurut Hamzah, bagi menentukan masa depan negara yang lebih baik, penduduk seharusnya memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti.

Sementara itu, Hamzah berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dijangka mengutip hasil lebih RM5 bilion pada tahun ini menerusi pelbagai program termasuk Program Visa Premium (PVIP) Malaysia.

“Kempen PVIP giat dijalankan di luar negara, ia akan menarik individu berkelayakan datang ke negara untuk jana pendapatan,” katanya.

Pasa 1 September lalu, Hamzah melancarkan PVIP yang antara lain bertujuan menarik minat hartawan global melabur serta menetap di negara ini bagi tempoh 20 tahun.

Sehingga Rabu lalu, JIM telah mengutip hasil sebanyak RM4.8 bilion, melepasi sasaran RM3.5 bilion yang ditetapkan pada tahun ini. – MalaysiaGazette