Mohamed Khaled pada hari penamaan calon disahkan bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi.

KETIKA ini calon-calon yang bertanding sedang giat berkempen dan sibuk berjumpa pengundi untuk meraih sokongan.

Selain muka baharu, ramai figura politik berpengalaman turut bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk seorang tokoh politik disegani di Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam PRU15 kali ini Mohamed Khaled bertanding di Parlimen Kota Tinggi dan akan berdepan dengan cabaran daripada calon Pakatan Harapan (PH), Onn Jaafar dan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Ridhwan Rasman.

Di atas kertas, Mohamed Khaled mempunyai kelebihan walaupun kali pertama bertanding di Kota Tinggi. Lebih-lebih lagi Kota Tinggi adalah kubu tradisi Barisan Nasional (BN).

Namun, beliau sentiasa bekerja keras dalam tempoh berkempen agar pengundi terus memberi sokongan kepadanya dan BN dalam PRU15.

Khaled Nordin
Mohamed Khaled sentiasa dekat di hati rakyat.

Pengundi di Kota Tinggi sememangnya bertuah kerana mempunyai calon berprestasi tinggi seperti Mohamed Khaled. Beliau merupakan calon yang mempunyai rekod perkhidmatan di peringkat pusat dan negeri.

Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri di peringkat persekutuan dari 2004 hingga 2013 dan Menteri Besar Johor dari 2013 hingga 2018.

Mohamed Khaled bukan figura asing dalam dunia politik dan kerajaan. Kariernya sebagai Ahli Parlimen bermula tahun 1990 apabila memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru selama tiga penggal berturut-turut sehingga beralih ke kerusi Parlimen Pasir Gudang yang baharu dibentuk hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Peranan dan sumbangan Mohamed Khaled terus diperlukan dalam kerajaan dengan pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya bermula Disember 1999.

Pada 2004, beliau dilantik menjadi ahli Jemaah Kabinet sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Peranan beliau terus dipercayai untuk memegang amanah sebagai Menteri Pengajian Tinggi pada 2008 hingga 2013.

Selepas memenangi PRU 2013 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Johor, Mohamed Khaled telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-14. Beliau juga kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN Johor.

Beliau juga dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO atas kapasiti sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Selepas PRU 2018, Mohamed Khaled menumpukan sepenuh perhatian dalam dunia politik apabila terpilih sebagai Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti bagi penggal 2018-2021.

Beliau pernah dilantik Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Berhad dan meletak jawatan pada 5 Ogos 2021 selaras ketetapan UMNO untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan (PN).

Mohamed Khaled

Sewaktu bertugas sebagai Menteri Pengajian Tinggi, beliau sentiasa berhasrat untuk mengupayakan bakat dan potensi rakyat Malaysia melalui pendidikan tinggi yang berkualiti.

Bukan sahaja peranan universiti, politeknik dan kolej komuniti terus diperkasakan bagi memperkukuh Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pembelajaran sepanjang hayat untuk rakyat.

Selain itu, beliau amat berminat dengan agenda keusahawanan bagi memastikan rakyat boleh menjana pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya dengan kerajaan. Ini antara agenda utama beliau sewaktu berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Rentetan itu, dalam siri kempen beliau baru-baru ini, Mohamed Khaled menyebut pengundi perlu mengundi dan memilih kerajaan yang sentiasa mengupayakan rakyat agar mereka boleh meneruskan kehidupan dengan bekalan ilmu dan kemahiran.

Semasa berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor, beliau telah memperkenalkan gagasan Johor Berkemajuan yang mahu menjadikan Johor sebuah negeri maju beracuan sendiri yang mengimbangi pembangunan ekonomi dan budaya tinggi.

Di bawah pentadbiran beliau, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor melepasi kadar purata nasional apabila mencatat 5.9 peratus, berbanding KDNK Malaysia 5.1 peratus.

Pada masa sama, beliau turut mengusahakan agenda Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa.

Mohamed Khaled sentiasa melakar pemikiran jauhnya melalui teks ucapan. Malah beliau dianggap pemimpin politik unik yang mempunyai buku koleksi teks ucapan sejak bergelar menteri sehinggalah menteri besar.

Malah, teks ucapan beliau semasa bertugas sebagai Menteri Pengajian Tinggi dianalisis bagi mencungkil identiti kepemimpinannya melalui bahasa yang digunakan.

Dari aspek hirarki dan kedudukan dalam UMNO, Mohamed Khaled adalah sebaris dengan Naib-naib Presiden yang lain iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri dan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut memegang portfolio Menteri Luar Bandar.

Perbezaan Mohamed Khaled dengan dua Naib Presiden yang lain hanyalah beliau tidak memegang jawatan menteri selepas tewas mengejut dalam PRU14. Beliau merupakan Naib Presiden UMNO sepenuh masa dan dianggap orang parti yang setia dan sentiasa berdedikasi untuk parti.

Sebagai salah seorang Top 5 dalam UMNO, Mohamed Khaled memainkan peranan yang tersendiri dalam memperkukuhkan parti khususnya menjadi ‘suara’ UMNO dengan menjawab dan menjelaskan isu-isu kepentingan negara kepada rakyat.

Beliau banyak mempertahankan UMNO melalui kenyataan yang diberikan dan disebarkan secara meluas terutama dalam media sosial yang kemudiannya dipetik oleh media perdana.

Orang Melayu khususnya memerlukan pemimpin Melayu yang berkualiti. Mereka juga memerlukan pemimpin yang boleh menjadi jurucakap kepada kepentingan orang Melayu.

Mohamed Khaled merupakan pemimpin yang sentiasa konsisten dalam menyuarakan pemikiran dan idea demi masa depan orang Melayu.

Apabila bercakap soal Melayu, beliau tidak terperangkap dengan romantisme, tetapi progresif menyuarakan kepentingan transformasi pemikiran orang Melayu yang perlu maju dan berdaya saing.

Hal ini diungkapkan bukan setahun dua dan bermusim, tetapi beliau bercakap secara konsisten.

PRU15 perlu menobatkan pemimpin Melayu yang berkualiti dan progresif. Mohamed Khaled mempunyai kualiti pemimpin Melayu yang dimaksudkan. Beliau merupakan calon berprestasi tinggi yang perlu dipilih dalam PRU15 kali ini.

Sekiranya Mohamed Khaled terpilih sebagai Ahli Parlimen Kota Tinggi, beliau berikhtiar untuk menjadikan Kota Tinggi sebagai kawasan jaminan keselamatan bekalan makanan negara, menggalakkan keusahawanan dalam kalangan penduduk dan membangunkan tanah terbiar. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga merupakan mantan Setiausaha Akhbar Menteri Pengajian Tinggi.