JKKK
S Tinagaran menunjukkan Buku Dasar Polisi PSM di Rantau, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) seharusnya dilantik oleh penduduk sendiri melalui pemilihan terbuka.

Cadangan itu terkandung dalam Buku Panduan Dasar Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada majlis pelancaran yang turut dihadiri calon PSM bagi kerusi Parlimen Rembau, S. Tinagaran di Rantau di sini, hari ini.

Langkah itu dikatakan berupaya mencegah berlaku penyelewengan terhadap peruntukan yang disalurkan kerajaan untuk projek pembangunan luar bandar.

PSM mendakwa, kira-kira 30 hingga 50 peratus peruntukan pembangunan luar bandar tidak sampai kepada golongan sasaran.

“Sebut harga yang terlalu tinggi, pecahan subkontrak yang banyak dan mutu kerja yang tidak sempurna adalah perkara lumrah,” dakwa PSM.

Sehubungan itu, PSM turut mencadangkan supaya butiran projek termasuk jumlah peruntukan keseluruhan, terma kontrak dan spesifikasi disiarkan dalam sesebuah laman sesawang agar maklumat tersebut dapat dibaca oleh orang ramai.

PSM menambah, Biro Pengaduan Awam (BPA) juga perlu dimantapkan lagi agar ia boleh memberi maklum balas kepada JKKK yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan projek di kampung mereka.

Di Negeri Sembilan, JKKK telah dijenamakan semula sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Selain itu, terdapat jawatankuasa pembangunan dan kemajuan kampung Persekutuan (JPKKP) yang dilantik oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar mulai Oktober 2021. – MalaysiaGazette