Penternak tidak menerima subsidi telur sejak awal tahun.

KUALA LUMPUR – Masalah kekurangan telur terus berlaku dengan keadaannya lebih serius di kawasan yang berjauhan dengan pengeluar dan peniaga telur.

Presiden Persatuan Perniagaan Telur Selangor dan Kuala Lumpur, Liu Kun Wei berkata, susulan harga siling yang ditetapkan kerajaan, peniaga hanya menikmati “keuntungan tipis.”

Jelasnya, keadaan itu bermakna hasil jualan sekadar mampu menampung gaji pekerja dan operasi perniagaan yang asas.

Katanya, keuntungan yang tidak banyak menyebabkan peniaga tidak sanggup menghantar telur ke kawasan yang lebih jauh kerana kos pengangkutan yang tinggi dan merugikan.

“Oleh itu, sesetengah peniaga telur telah mengurangkan penghantaran ke kawasan yang lebih jauh kerana faktor kos pengangkutan yang tinggi.

“Penghantaran ke kawasan yang jauh juga tidak dapat meningkatkan hasil perniagaan,” katanya kepada China Press.

Katanya lagi, walaupun kerajaan menaikkan subsidi telur kepada 10 sen sebiji, tetapi langkah itu tidak dapat mengatasi masalah kekurangan telur secara segera.

Kun Wei sebaliknya menjangkakan masalah kekurangan telur memerlukan sehingga enam bulan untuk diselesaikan.

“Masalah kekurangan telur berpunca daripada pengeluaran yang berkurangan kerana penternak mahu mengelakkan kerugian.

“Untuk menambahkan pengeluaran, anak ayam perlu dibawa masuk dan dibesarkan untuk bertelur. Proses ini mengambil masa setengah tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast