Calon Barisan Nasional (BN) N.46 Teja, Liew Yee Lin sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika di Sungai Rapat, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2022.

GOPENG – Pengundi Cina lebih menerima Barisan Nasional (BN) kali ini berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja, Liew Yee Lin berkata, sambutan hangat daripada pengundi-pengundi di kawasan berkenaan membuatkan beliau terkejut dan terharu.

Katanya, semasa PRU-14, momentum dan senarionya sangat berbeza kerana ketika itu komuniti Cina yang merangkumi 42 peratus pengundi di DUN berkenaan sangat membenci BN.

Yee Lin berkata, mereka tidak suka apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan logo dacing dan sentiasa mengkritik BN secara terbuka.

“Dulu masa edar risalah, mereka terus buang sahaja.

“Kali ini sangat berbeza, pengundi seperti sedar parti yang mereka sokong sebelum ini lebih banyak bercakap dan tidak menjaga kebajikan serta membela rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Calon BN bagi DUN Teja, Liew Yee Lin bertemu penduduk di kawasan DUN Teja.

Yee Lin menambah, disebabkan tidak mahu lagi tertipu, para pengundi di kawasan itu menunjukkan respons positif terhadap calon-calon BN termasuk beliau yang memang sudah dikenali rakyat.

“Saya bukan calon payung terjun walaupun kali pertama bertanding.

“Saya tinggal di sini sejak 28 tahun lalu dan bergaul dengan masyarakat bukan semasa musim pilihan raya sahaja.

“Saya percaya khidmat bakti kami selama ini akan membuahkan hasil,” kata Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Gopeng itu lagi.

 

Calon BN DUN Teja, Lim Yee Lin bukan orang luar. Beliau tinggal di kawasan itu sejak 28 tahun lalu.

Yee Lin akan berentap dengan Low Leong Sin (WARISAN), Ahmad Ishak (PN-BERSATU) dan Sandrea Ng Shy Ching (PH-PKR). -MalaysiaGazette