Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah), calon DUN Damak, Muhammad Fasal Jamlus (kiri) dan calon Parlimen Jerantut, Datuk Zukarmi Abu Bakar.

JERANTUT – Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka (PN-Pas) yang menyifatkan kawasan Pahang Barat ketinggalan serba-serbi dalam pembangunan.

Katanya, kerajaan negeri telah merangka Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus yang membabitkan Bera, Jerantut, Bentong, Cameron Highlands, Raub dan Lipis dengan menawarkan potensi yang luas dan akan membantu membawa pelabur yang sesuai untuk ke kawasan tersebut.

“Kerajaan Pahang merangka Pahang Barat Plus untuk memberi tumpuan kepada pelancongan, pertanian, mineral, perkayuan dan perkhidmatan dan dijangka mampu memastikan pembangunan seimbang membabitkan di 11 daerah di Pahang dan tidak hanya tertumpu kepada satu kawasan sahaja.

“Sebagai contoh, baru-baru ini, bandar Lipis bakal menerima pelaburan daripada syarikat tempatan berjumlah RM 1bilion menerusi pembinaan Bandar Pertahanan Lipis.

“Kilang itu bakal mengeluarkan peluru dan jentera ketenteraan antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang dan Ketech Asia Sdn Bhd (Fasa 1) di Kechau Tui yang melibatkan keseluruhan kawasan seluas 40.5 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Cina di Taman Intan, dekat sini, malam tadi.

Katanya, tohmahan seperti itu tidak wajar keluar dari mulut calon DUN negeri ini tanpa menyemak fakta sebenar.

Turut hadir, Calon Parlimen Jerantut, Datuk Zukarmi Abu Bakar, Calon DUN Damak, Muhammad Fasal Jamlus dan Calon Duna Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

Selain itu, beliau menjelaskan, demi kesejahteraan rakyat di Kawasan Pahang Barat, sebanyak RM2.3 bilion diperuntukan untuk melaksanakan sebanyak 217 projek menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) untuk menggantikan paip lama serta peralatan tertentu mulai tahun ini.

“Tanggungjawab itu diserahkan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), iaitu anak syarikat kerajaan untuk mengatasi masalah utama bekalan kerap terganggu, paip pecah, tekanan rendah, banjir dan kerosakan loji.

“Selain faktor gangguan air, ketika kemarau berlaku halangan air cetek di muka sauk dan kapasiti tangki antara punca utama dikenalpasti oleh Paip dan kita sedang berusaha membaikpulih secara berperingkat berasaskan peruntukan tersebut,” katanya.

Wan Rosdy juga menyatakan Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang berjalan lancar dengan lima daripada 36 terowong sudah ditembusi setakat ini.

“Oleh itu, kerajaan negeri turut mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan pembinaan landasan ECRL yang menghubungkan landasan utama ke Lipis dan ke Pekan.

“Pembinaan ini memerlukan kajian menyeluruh di samping menunggu ECRL utama siap sepenuhnya, ini salah satu cara untuk membangunkan sesuatu tempat itu mudah dihubungi selain saling berkait pembangunan setempat,” katanya.  – MalaysiaGazette