Allahyarham Syazlin Zainal

KUALA LUMPUR- Pelakon drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal disahkan meninggal dunia selepas jatuh di tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita berusia 26 tahun itu di bahagian bawah pangsapuri tersebut pada 12.50 tengah hari.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita yang bekerja sebagai pelakon sambilan.

“Sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.

Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Balai Polis Taman Pelangi atau Pegawai Penyiasat ASP Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.- MalaysiaGazette