Beberapa kawasan di sekitar Bukit Mertajam di landa banjir kilat dan dua PPS dibuka setakat jam 6 pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Seramai 109 mangsa banjir di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Bukit Mertajam serta Simpang Ampat di sini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, setakat jam 6 pagi tadi seramai 34 keluarga dilaporkan menjadi mangsa banjir.

Boon Poh berkata, seramai 87 mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) True Light, Juru (SPS) manakala seramai 22 mangsa pula ditempatkan di Dewan Orang Ramai Bukit Teh di sini (SPT).

“PPS SJKC True Light dibuka pada jam 8.10 malam manakala PPS kedua dibuka jam 9.30 malam susulan terdapat peningkatan jumlah mangsa banjir.

“Mengikut pecahan mangsa, seramai 30 lelaki dewasa, perempuan dewasa (35), kanak-kanak lelaki (17), kanak-kanak perempuan (13), bayi (4) orang kelainan upaya (1) dan warga emas (11) ditempatkan di kedua-dua PPS,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

23 lokasi dalam daerah SPT dilanda banjir kilat, kempen politik dibatalkan

MalaysiaGazette semalam melaporkan, sebanyak 23 lokasi dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) khususnya sekitar Bukit Mertajam dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira dua jam sejak petang.

Selain itu, beberapa kempen serta ceramah politik membabitkan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional serta Pakatan Harapan terpaksa dibatalkan susulan hujan lebat serta beberapa kawasan dilanda banjir. – MalaysiaGazette