Kenyataan perkembangan terkini mangsa dan keluarga terjejas akibat bencana banjir di seluruh negara bertarikh 12 November 2022 oleh NADMA di laman rasmi Facebook. Sumber NADMA

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan mangsa banjir di seluruh negara hari iji merekodkan seramai 1,359 orang membabitkan 345 keluarga.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, jumlah mangsa itu membabitkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Kelantan.

Daripada 1,359 mangsa banjir yang direkodkan, Selangor menyaksikan jumlah pemindahan mangsa banjir paling tinggi seramai 903 orang.

Kedah 233 mangsa, diikuti 75 di Pulau Pinang, 62 (Kelantan),  57 (Johor) dan 29 (Melaka).

Daripada jumlah 345 keluarga terjejas bencana banjir di negara ini, sebanyak 217 keluarga daripadanya dikesan di Klang dan Kuala Selangor.

Menurutnya lagi, seramai 60 keluarga di Kedah ditempatkan di kawasan Bandar Baharu dan Kulim di lima buah PPS yang telah dibuka di Surau Kampung Batu 18, Dewan Masjid Sungai Seluang, Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik, SK Sri Limau dan Surau Taman Sang Kancil.

Seramai 18 lagi keluarga terjejas banjir telah ditempatkan di tiga lagi PPS yang diaktifkan di daerah Segamat, Johor manakala di Melaka 12 keluarga ditempatkan di dua PPS yang dibuka di Alor Gajah. – MalaysiaGazette