Saudara pengarang,
Ketika saya menulis catatan ini, di luar rumah hujan mencurah-curah. Hujan di Ampang Tasik dan sekitarnya turun sepanjang minggu ini. Tidak ada satu hari pun, tanah di Ampang ini tidak dibasahi hujan. Cuma penduduk di sini bernasib baik, tiada banjir kilat meskipun air longkang melimpah-limpah keluar.
Ironinya, ketika musim hujan ini, buat minggu kedua dalam bulan ini Ampang Tasik tiada air. Melalui sistem perkhidmatan ringkas, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan berlaku gangguan bekalan air di sini pada jam 10.14 pagi walaupun air di sinki rumah sudah tiada kira-kira jam 9 pagi tadi.
Alasan demi alasan yang diberikan Air Selangor setiap kali masalah gangguan bekalan air berlaku.
Hari ini, kata Air Selangor, Ampang Tasik, Taman Sri Raya, Taman Sri Bayu, Taman Fairuza dan Taman Permai Jaya mengalami gangguan bekalan air kerana paras air di kolam takungan PKS rendah.
Alasan ini sama dengan minggu lalu selepas gangguan berlaku pada awal pagi Sabtu sehingga Isnin.
Berilah apa pun sekali alasan, yang pasti masalah itu timbul disebabkan kelemahan pengurusan Air Selangor daripada semua peringkat. Air Selangor jangan menafikannya!
Jangan kata setahun, dalam tempoh sebulan pun tidak mampu untuk memastikan ‘sifar gangguan air’.
Mungkin pihak pengurusan tidak tahu, sebab itu saya ingin beritahu. Ampang adalah kawasan kritikal gangguan air, kerana terlalu kerap sangat.
Dalam setahun entah berapa kali – sampai tak terkira dek terlalu kerap. Malah, kadangkala Air Selangor tidak sempat pun hendak memaklumkan melalui media sosial sehingga panggilan telefon perlu dibuat untuk bertanya kenapa paip di rumah keluar angin bukan air.
Buktinya hari ini, ketika keadaan hujan lebat setiap petang membawa ke malam hingga ke Subuh di Lembah Klang – Ampang Tasik masih tidak ada air. Macam tak logikkan, tapi itulah kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur ini.
Kalau tengok pembangunan di sini, kami cukup bertuah sebab akses lebuh raya mengelilingi kawasan ini. Hendak menggunakan Lebuhraya SUKE hanya di belakang rumah, Lebuhraya Besraya pun tak jauh manakala jalan raya Lingkaran Tengah Dua pula boleh keluar, masuk dari mana-mana tempat.
Bukan itu saya, penduduk di Ampang Tasik ini tak perlu pun beli kondominium mewah untuk ‘merenung’ bangunan KLCC atau TRX, mahupun Menara Merdeka 118.
Buka sahaja pintu rumah, ketiga-tiga bangunan ikonik negara itu boleh dilihat.
Malangnya, penduduk Ampang sentiasa dihantui masalah air.
Lebih tragis lagi, masalah kami di sini tidak pernah pun dipandang serius oleh pemimpin yang dilantik menjadi wakil rakyat sejak berbelas tahun.
Kalau sinki kering, kamilah yang perlu membuat panggilan lori tangki. Lori tangki Air Selangor tak datang, telefon pula lori air Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Itulah senario kami di Ampang, entah bila akan berakhir.
Cuma hairannya, ada pula penyandang wakil rakyat di Ampang ini yang sibuk meminta Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana melepaskan jawatan kononnya ‘heads must roll’ kerana isu gangguan LRT yang didakwa menyusahkan pengguna Ampang.
Kenapa gesaan yang sama tidak dibuat kepada pengurusan Air Selangor kerana penduduk di Ampang berkali-kali alami gangguan air. Dalam memperjuangkan hak rakyat jangan ada isu terpilih.
Penduduk Ampang
Selangor