Anthony Loke Siew Fook

TAIPING – Walaupun jumlah orang yang menghadiri program rapat umum anjuran DAP telah berkurangan, tetapi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke percaya kebanyakan pengundi Cina masih akan menyokong PH.

Anthony berkata, jumlah orang yang menghadiri rapat umum DAP semasa pilihan raya lalu adalah melebihi 10,000 orang setiap sesi, tetapi keadaan sama tidak berulang kali ini.

Katanya, pengurangan kehadiran mungkin didorong oleh faktor cuaca ataupun ramai orang telah pernah mendengar ucapan berkenaan.

“Walaupun rapat umum DAP tidak mendapat kehadiran yang ramai, tetapi saya tetap yakin bahawa kebanyakan pengundi Cina akan menyokong kami,” katanya.

Anthony dilaporkan China Press sebagai berkata demikian ketika menghadiri satu majlis makan malam bersama wakil-wakil sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Taiping, Perak.

Menurut Anthony, beliau yakin masyarakat Cina mahukan perubahan dan sedar bahawa negara ini tidak boleh ditadbir oleh kerajaan yang rasuah.

Beliau justeru menyeru masyarakat Cina untuk menyokong PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Kata beliau lagi, setiap pakatan politik berpeluang untuk menang dan DAP telah membuat pertimbangan teliti dalam perletakan calon.

“Sekiranya PH menang, maka akan ada wakil rakyat yang lebih berkualiti untuk berkhidmat secara lebih baik kepada rakyat,” katanya.