KUALA LUMPUR- Sekurang-kurangnya sembilan mangsa daripada tiga keluarga di Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dimasuki air, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 malam.
Katanya, tujuh anggota bomba dan jentera segera digerakkan ke lokasi.
“Berdasarkan siasatan awal, empat kawasan iaitu Lorong 14, 15, 18 dan 19 dikenal pasti terjejas akibat banjir,” katanya.
Menurut Norazam, kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh.
Beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dilaporkan mengalami banjir semalam susulan hujan lebat berterusan.
Tiga PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman.- MalaysiaGazette